I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday 26 March 2011

Apa Itu Cinta??

Maha suci Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan kepada sekalian hamba-Nya. Allah Maha Mengetahui yang mengurniakan cinta kepada kalangan manusia. Hidup manusia tidak terasa lengkap tanpa kehadiran cinta. Itu satu hakikat dengan fitrah insan yang sentiasa ingin disayangi dan menyayangi.

Allah tidak melarang hamba-Nya bercinta. Malah, Dia yang mengurniakan perasaan itu dalam hati setiap manusia. Beruntunglah bagi sesiapa yang menyucikan cinta. Cinta nikmat bagi hati setiap insan. Tanpa cinta, manusia akan terus hidup dalam kesakitan dan kesukaran. Tanpa cinta, manusia akan saling benci membenci. Manusia akan hilang perikemanusiaan. Manusia akan sanggup menyakiti insan lain demi mencapai kepentingan diri. Justeru, sucikanlah cinta dan suburkanlah perasaan itu dengan takwa kepada Yang Maha Esa.

Cinta yang ditafsir sebagai kasih dan sayang, dianugerahkan sejak awal penciptaan manusia. Ketika Nabi Adam di dalam syurga yang penuh kenikmatan, masih terasa kekosongan di hatinya. Lantas, Allah Yang Maha Mengetahui, segera menciptakan seorang perempuan, Hawa bagi mengisi kekosongan tersebut. Maka, terisilah keresahan dan kekosongan yang sebelum ini membelenggu jiwa Adam. Jelaslah, cinta sudah bermula sejak di syurga. Tanpa cinta, pasti akan ada kekosongan dalam jiwa manusia.

Syurga adalah matlamat setiap manusia yang beriman. Allah menjanjikan syurga kepada mereka yang mengamalkan segala perintah-Nya dan meninggalkan apa dilarang. Orang yang layak menghuni syurga adalah mereka dalam kalangan yang baik-baik iaitu para rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Justeru, cinta juga boleh dijadikan alat untuk mencapai hasrat itu. Jadilah kita insan yang baik-baik agar tergolong dalam kalangan penghuni syurga.

Cinta dilahirkan di tempat baik (syurga), dianugerahkan Yang Maha Baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (Nabi Adam AS) dan diwariskan kepada orang-orang yang baik (para solihin). Cinta lahirnya di syurga dan akan berakhir di syurga.



Bercinta Kerana Allah


Cinta sesama manusia hanya alat untuk mencapai cinta Allah. Untuk menjaga kesucian cinta, jadikan cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia. Cinta adalah hadiah daripada Tuhan. Maka, kita perlu menghargai cinta dengan mendahulukan pemberi. Cinta bukanlah pendahulu bagi segala-galanya. Jangan taasub dengan cinta hingga merana jiwa dan lupa daratan.

Peliharalah cinta kerana Allah. Sucikan cinta dengan perkara-perkara disukai Allah. Berkasih sayang sesama manusia kerana Allah. Bagaimanapun, jangan biarkan cinta pada manusia mendahului cinta pada Allah.

Sayangnya, dunia hari ini terlalu disemai dengan cinta abadi sesama manusia. Manusia yang sanggup lupakan keluarga dan sanggup mati kerana cinta. Manusia yang lumpuh seluruh jiwa kerana cinta.Sedangkan, Allah sepatutnya menjadi yang pertama dalam meraih cinta. Cinta sekadar alat pelengkap kekosongan jiwa, namun ia bukanlah segala-galanya.

No comments:

Post a Comment